KEMANA ANDA? - APABILA SEMUANYA SERBA TIDAK KENA PADA PANDANGAN ORANG LAIN
by FIRMAN ALLAH on Saturday, February 5, 2011 at 10:17am
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
Dalam sebuah riwayat ada menceritakan beberapa situasi yang dihadapi Luqman Hakim sebagai teladan yang amat berguna kepada manusia. Kisah Luqman, anaknya dan himar (keldai) ini berlaku di sebuah pasar. Apa yang perlu anda fikirkan dan nilai adalah RAGAM MANUSIA yang melihat setiap perbuatan Luqman, anaknya dan himar itu.
SITUASI 1 - Luqman memasuki pasar sambil menunggang himar sementara anaknya mengikut berjalan kaki dari belakang. RAGAM MANUSIA: "Lihat lah, itu seorang tua yang tidak bertimbang rasa, sanggup dia membiarkan anaknya berjalan kaki sedang dia sedap duduk atas himar".
SITUASI 2 - Mendengar kepada percakapan itu, Luqman turun dan meletakkan anaknya pula di atas himar sambil dia berjalan kaki. RAGAM MANUSIA:"Lihatlah, orang tuanya berjalan kaki sedangkan anaknya yang masih muda sedap menaiki himar itu, sungguh kurang adab anak itu".
SITUASI 3 - Luqman lantas menaiki himar itu bersama anaknya supaya orang yang berkata itu diam. RAGAM MANUSIA: "Lihatlah manusia yang tidak berhati perut itu, dua beranak menaiki himar tanpa ada rasa kasihan belas terhadap himarnya itu".
SITUASI 4 - Respon kepada kata-kata itu Luqman turun bersama anaknya dan memimpin himar sambil berlalu. RAGAM MANUSIA: "Lihatlah dua beranak yang bodoh, berjalan kaki sedangkan himarnya tidak ditungganginya".
Melihat kepada situasi 1 hingga 4 di atas, fahamilah kita bahawa setiap apa yang kita lakukan samada baik ataupun tidak pasti tidak akan terlepas dari cakap-cakap orang. Manusia memang suka merngumpat dan tidak akan senang dengan apa yang manusia lain lakukan. Justeru itu Rasulullah Saw bersabda: "Barangsiapa berkata sesuatu tentang sesorang dan jika perkara itu benar, bermakna dia telah memperolehi dosa mengumpat saudaranya itu, seandainya tidak benar perkara yang dicakapkannya itu, maka itu adalah dosa fitnah" - Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim
Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah, sesungguhnhya kita ini tidak akan terlepas dari cacian, kata nesta, cakap-cakap orang selagi kita bernyawa. Anda buatlah baik maupun jahat, manusia tetap akan berkata mengenainya. Anda boleh melihat sendiri bagaimanakah situasi yang dilalui oleh Luqman, anaknya dan himar sebagaimana yang saya paparkan pada situasi-situasi di atas.
Maka, bagi orang yang berakal, janganlah dia mengambil pertimbangan melainkan kepada Allah Swt semata. Pedulikan kata-kata dan cakap-cakap orang tentang anda jika anda telah mengenali kebenaran kerana itulah kunci kepada pertimbangan dalam tiap-tiap sesuatu yang ingin anda lakukan ~Wallahualam~
Subscribe to:
Posts (Atom)
